Oktober 26, 2009

Songkran di Tumpat




SONGKRAN atau tahun baru mengikut kalendar masyarakat Siam adalah pesta utama disambut meriah penduduk Thailand, pertengahan April setiap tahun.Warisan budaya ini kini menjadi antara tarikan pelancongan utama negara gajah putih itu.

Tanpa mereka sedari, perayaan itu juga disambut penuh tradisi di wat utama di Tumpat, Kelantan.Walaupun perayaan ini berbentuk agama kini ia lebih komersial dengan pesta menjirus air dan membaling tepung selain persembahan hiburan.Setiap tahun, sambutan Pesta Songkran di Tumpat menarik ribuan pengunjung. Warga Thai sanggup menyeberang sempadan untuk merasai kemeriahan sambutan tahun baru ini.

Berbeza dengan penduduk Thailand, masyarakat Siam kelahiran Malaysia bertutur menggunakan dialek Tak Bai, sempena nama pekan kecil di wilayah Narathiwat, di selatan negara jiran itu.Kebanyakan daripada mereka mengamalkan ajaran Buddha seperti di Thailand yang dapat disaksikan menerusi beberapa wat utama yang dibina di Tumpat. Kampung Bukit Tanah di Tumpat pula menempatkan kuil bot naga atau Wat Mai Suvankhiri yang dibina atas tapak seluas empat hektar.

Kompleks ini memiliki dua bangunan utama dengan kuil utama dihiasi replika bot naga yang besar. Dua naga menjadi penjaga di pintu masuk, setiap satunya sepanjang 150 kaki panjang menjadi tarikan utama pengunjung ke tokong ini. Jika berhasrat melawat di wat di kawasan Tumpat ini, pastikan anda tarikh lawatan anda kena pada perayaan untuk merasai sendiri pengalaman menyambut tahun baru Thai atau Songkran di negara sendiri.

Budaya masyarakat Siam turut diserap kepada cara hidup Melayu Kelantan menerusi makanan seperti cholek, sajian yang dimakan dengan sos seperti cholek ayam, cholek perut, cholek pelepong dan paling popular, cholek buah-buahan seperti mangga.

Som tam pula adalah salad betik yang memiliki gabungan rasa masin, masam dan pedas. Ramuan utama digunakan termasuk sos soya, betik muda, kacang tanah, sos ikan, cili dan perahan limau. Semua ditumbuk dalam lesung menghasilkan sajian pelbagai rasa.

Pertunjukan seni berasal dari Siam yang dikatakan memiliki unsur pemujaan seperti main puteri dan menora tidak dibenar dipertontonkan kepada awam. Namun, ada mengatakan ia masih boleh ditonton dalam kumpulan kecil di kawasan pedalaman.

Selain wat, Kelantan turut memiliki kuil berusia lebih 500 tahun dibina pendatang Hakka terawal di Kelantan. Festival selama sebulan ini diadakan sekitar Mac menarik kunjungan pelancong ke kawasan perkampungan dekat bandar Gua Musang ini.

Oktober 25, 2009

Kelantan Delight di Sooka Sentral


JIKA mengunjungi pusat beli-belah Sooka Sentral di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur, jangan lupa singgah di restoran berteraskan kesenian Melayu tradisional, Kelantan Delights yang terkenal dengan sajian istimewa dari Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Berwajah baru selepas berpindah dari lokasinya sebelum ini di Suria KLCC, restoran bertaraf lima bintang itu menampilkan seni bina eksklusif dengan elemen tradisional dan kontemporari bergabung.

Menurut pemiliknya, Juhaidi Yean Abdullah, 49, dekorasi dalaman yang direka khusus itu adalah bagi memberi pengalaman baru buat pelancong asing di samping menggamit kembali nostalgia.

“Saya ingin memartabatkan masakan tradisional Kelantan dan memberi peluang kepada orang ramai khususnya pelancong menikmati makanan Melayu yang sebenar dalam suasana restoran bertaraf lima bintang,” tutur Juhaidi.
Bagi usahawan kelahiran Kota Bharu itu, tempat menjamu selera perlu menampakkan ciri keselesaan yang maksimum.

“Pengurusan ruang makan di Kelantan Delights juga boleh dilihat menerusi campuran rekaan restoran barat, China dan juga Jepun. Saya suka melihat kelainan.
“Kalau tidak, tempat itu akan nampak biasa sahaja,” ujarnya yang berpendapat lokasi restoran itu sangat strategik kerana dikelilingi pusat beli-belah dan hotel-hotel terkemuka.

Menyediakan empat ruang berlainan, restoran berkeluasan 4,300 kaki persegi itu turut mempamerkan aliran rekaan dan penggayaan terancang dan sempurna.
“Restoran ini mempunyai empat ruang berbeza dengan dua daripadanya bergabung membentuk ruang utama.
“Ruang utama mempunyai dua jenis gaya bersantap, pertama yang dilengkapi dengan kerusi dan meja, manakala bagi yang mahu makan sambil bersimpuh atau bersila, satu ruang lain disediakan,” jelasnya.

Kawasan makan secara bersila atau bersimpuh di atas bantal khas sambil menghadap sebuah meja bulat yang luas dan selesa itu boleh memuatkan sehingga lima orang pengunjung.
SANTAPAN jiwa. Ruang balkoni menyediakan udara segar dan panorama indah di persekitaran Sooka Sentral.

Ditempatkan di atas ruangan khas berlantaikan kayu seumpama pangkin luas, pengunjung pasti teruja dengan konsep rekaannya yang kemas dan sistematik.

Bagi mereka yang sudah biasa bersantap cara moden di meja dan kerusi, boleh memilih untuk menikmati juadah di ruang yang menempatkan meja makan dan boleh memuatkan sehingga 14 orang pada satu-satu masa.

Satu pendekatan kreatif dapat dilihat pada bahagian siling ruang ini yang dihiasi kemasan kerawang kayu, yang apabila bersatu dengan pancaran lampu kuning segera menerbitkan percikan keindahan visual.

“Kedua-dua ruang ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Ruang bersimpuh atau bersila memang direka untuk pengunjung yang mahu bersantap ala kampung.
“Tapi biasanya pengunjung yang datang dalam bilangan yang ramai akan memilih ruang meja makan disebabkan ia lebih luas berbanding ruang bersimpuh atau bersila tadi,” akui Juhaidi.
Selain ruang utama, pengunjung boleh memilih sama ada untuk menikmati kelazatan juadah di Kelantan Delights dalam ruang yang tertutup atau terbuka.

Sesuai sebagai tempat tetamu VIP menjamu selera, satu ruang makan tertutup turut tersedia.
Bersempadankan pintu kayu dan dinding kaca penuh dari lantai ke siling, ruang yang terletak bersebelahan ruang utama itu disediakan khusus untuk keluarga atau pelanggan yang inginkan privasi.

Mengaplikasikan suasana moden sebagai tema, semestinya privasi dapat dinikmati di sini. Boleh memuatkan sehingga 10 orang pengunjung pada satu-satu masa, padanan meja panjang dengan kerusi berona hitam yang dipilih tampak begitu ringkas tetapi masih menggambarkan gaya eksklusif.

JALINAN kemesraan lebih erat terjalin apabila menikmati juadah lazat dalam suasana harmoni sambil bersila atau bersimpuh.
“Di ruang ini kami akan meletakkan seorang pelayan khas bagi memastikan pelanggan VIP diberi layanan istimewa, ” ujar Juhaidi.

Konsep itu juga dilihat menepati gaya korporat pengunjung yang kebanyakannya daripada kelompok eksekutif.

Jika mahu menikmati suasana kota dan udara segar, sambil menjamu mata menerokai panorama indah Sooka Sentral, balkoni adalah jawapannya.

Dengan menampilkan rekaan berbentuk U, ia boleh memuatkan sehingga 100 tetamu.
“Biasanya mereka yang makan di ruang terbuka ini gemar melayari Internet dan merokok.
“Balkoni memuatkan dua jenis konsep perabot iaitu set kayu jati buatan Indonesia dan juga perabot moden. Selain itu, kami turut menyediakan kemudahan Internet secara percuma,” jelasnya.

Meneliti secara lebih terperinci, dekorasi Kelantan Delights nyata tampil berkarakter.
Faktor kemasan dinding dan warna cerah memainkan peranan penting sebagai tenaga hidup dalam tata hiasnya. Menggabungkan elemen konkrit dan kaca, ternyata hasilnya sangat mengagumkan.

“Bagi menghidupkan (aura) ketiga-tiga jenis material cermin, konkrit dan kayu, saya gunakan efek lampu sebagai penyeri kemasan di bahagian dalam restoran.
ALAT perhiasan tembaga dan tekstil tradisional turut dijadikan pesona visual.
“Kalau ada rezeki, mungkin saya akan tambah lagi dua konsep hiasan yang berasaskan coffee bar dan dapur terbuka,” beritahu Juhaidi lagi.

Selain setiap sudut, dinding dan ruang dihiasi dengan perhiasan unik seperti kayu berkerawang, paling mempesonakan ialah pintu gerbang yang memisahkan ruang utama dan balkoni restoran ini.

“Pintu gerbang ini diinspirasikan daripada replika pintu masjid lama, yang kebanyakannya terdapat di Thailand. Ia dihasilkan oleh dua pengukir khas dari Bachok, Kelantan dengan kos sebanyak RM14,000.
“Ia lebih bercirikan motif kesenian Kelantan,” ujar Juhaidi.

Oktober 24, 2009

Dikir keretapi tarikan baru ke Kelantan






SELESAI melakukan pemeriksaan kastam dan imigresen di Stesen Woodlands, Singapura, para penumpang kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) berlari anak memasuki koc. Masing-masing tidak mahu ketinggalan kereta api. Begitu juga penulis dan sekumpulan wakil media yang turut sama menaiki tren Ekspres Timuran yang menuju ke Tumpat, Kelantan.

Saat melabuhkan punggung di tempat duduk yang disediakan, satu pengumuman memecah suasana sunyi di koc yang menempatkan rombongan media. "Diharap kalian bergembira menyertai ekspedisi ini. Kira-kira 10 minit lagi, koc kita akan diserikan dengan persembahan yang mengujakan. Bukan nyanyian daripada penyanyi popular mahupun klip video muzik.

Berdikir dalam kereta api? Bagaimanakah suasananya? Tak sabar rasanya untuk menyaksikan persembahan itu.

Sebaik sahaja kereta api mula bergerak perlahan-lahan, koc yang dinaiki media mula dipenuhi ahli Kumpulan Kebudayaan Dikir Barat Sri Rahmat. Mereka sudah bersiap siaga dari koc belakang.

Sambil membawa alat muzik untuk berdikir, kumpulan yang diimport dari Kota Bharu, Kelantan itu tampil santai. Mereka menggayakan baju-t putih yang tertera ungkapan, 'Budi Bahasa Budaya Kita' dan memakai lilitan tengkolok kuning di kepala.

Masing-masing mencari kedudukan yang selesa dan membuat formasi bulatan sebelum memulakan persembahan. Langkah itu penting kerana dikir barat yang akan dipersembahkan sebentar nanti bukannya berlangsung dalam tempoh 30 minit seperti biasa. Sebaliknya, ia memakan masa selama 15 jam!

Tepat jarum jam menunjukkan pukul 6.50 petang, gong dipalu dan serta merta kumpulan dikir Sri Rahmat beraksi. Lagu-lagu
rakyat Kelantan didendangkan bersama bunga tari sambil mengikut alunan muzik.

Selain mencuci mata dengan kehijauan rimbunan pohon, dusun buah-buahan dan pemandangan desa yang permai, halwa telinga kami pula dihiburkan dengan persembahan dikir barat secara langsung. Persembahan seni dikir barat dalam dialek Kelantan begitu hebat apabila kombinasi nyanyian tukang karut dan awak-awak cukup serasi. Mereka bersatu dalam lagu dan setiap lagu yang dinyanyikan menceriakan suasana koc.

Biarpun perjalanan dari Singapura ke Tumpat sejauh 780 kilometer, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kumpulan dikir Sri Rahmat. Sepanjang perjalanan, mereka asyik berdikir. Mereka memulakan dikir dengan lagu-lagu rakyat Kelantan. Antaranya Dikir Rambong, Joget Kelantan, Gurindam Jiwa, Anak Tupai, Asyik dan sebagainya.

Riuh-rendah dibuatnya koc kami dengan tepukan, nyanyian, paluan gong dan deringan tamborin. Sesekali sambil menyanyi, awak-awak berdiri dan menari mengikut muzik. Krew KTMB turut mengambil kesempatan menari tatkala kumpulan dikir mengalunkan lagu Joget Kelantan.

Lebih memeriahkan suasana apabila pendikir Sri Rahmat yang memiliki tiga orang tukang karut yang silih berganti mempersembahkan lagu-lagu Hindustan, Indonesia dan Thailand. Tidak ketinggalan, koleksi lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee versi dikir barat yang membuatkan badan kami turut sama bergoyang.




Selepas kesemua lagu rakyat, Hindustan, Indonesia, Thailand dan klasik didendangkan, mereka hampir kekeringan idea. Namun, mereka mengejutkan pendengar apabila mendikirbaratkan pula lagu-lagu pop, patriotik dan rock! Antaranya lagu kumpulan Amuk, Akar dan Bumi. Kemampuan mereka yang seolah-olah berdikir barat secara spontan mengagumkan. Mungkin itulah keadaannya apabila dikehendaki berdikir selama 15 jam.

Sedang asyik berdikir, penulis menyelak jendela yang dihiasi dengan motif bunga yang menutupi gerabak. Tiada apa yang jelas kelihatan kecuali suasana malam yang pekat. Sudah pukul 1 pagi rupanya. Dek kerana persembahan kumpulan dikir Sri Rahmat masih bertenaga, saya terasa masa berlalu begitu pantas.

KTMB menganjurkan cabaran berdikir dalam kereta api dari Singapura ke Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Namun kerancakan dikir barat yang berlangsung di dalam kereta api No. 14 mula beransur perlahan. Suara awak-awak dan tukang karut Che Azmin Che Soh, 33, dan Mohd. Hanafiah Yusof, 32, yang sebentar tadi memecahkan keheningan malam tersekat-sekat dan serak.

Riak wajah mereka diselubungi keletihan dan kelesuan. Pada waktu itu, jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.30 pagi. Sampaikan salah seorang tukang karut menyuarakan: "Lagu apa kita nak nyanyi lagi. Rasanya semua lagu kita dah nyanyi.

Secara tiba-tiba salah seorang awak-awak menyanyikan lagu, "Old MacDonald had a farm, eee-yi-eee-yi-oh" kemudian mereka terus menyempurnakan bait-bait lagu tersebut. Lucu dibuatnya sehingga lagu kanak-kanak boleh dijadikan lagu dikir.

Bagi mengubati suara yang semakin serak itu, mereka hanya meneguk air minuman yang setia di sisi. Sesekali kedengaran kata-kata semangat daripada ahli kumpulan: 'Tak pe... try lagi deh, teruskan.' Mereka saling meniupkan semangat dan meneruskan misi berdikir.

Tatkala diberitahu tinggal tiga jam lagi untuk tiba di Tumpat, kumpulan dikir Sri Rahmat semakin asyik berdikir. Bagi menghangatkan suasana dan motivasi diri untuk mencapai cabaran yang ditugaskan, mereka yang mulanya memakai baju-t menyarungkan busana dikir barat tradisional pula.

Rona jingga terang seolah-olah memberikan semangat baru kepada mereka. Lagu-lagu dikir yang dipersembahkan semakin rancak. Terutamanya ketika tren berhenti di stesen Gua Musang, Kelantan iaitu lima stesen lagi untuk tiba ke Tumpat.
Sebaik sahaja mendengar siren yang menandakan tren bakal berhenti di stesen terakhir, irama dikir kedengaran semakin memuncak. Lagu Wau Bule mengiringi persembahan sehingga tren Ekspres Timuran berhenti di Tumpat, Kelantan, tepat pukul 10 pagi.

"Ini bukan satu kerja yang mudah. Mendengar sahaja tempoh 15 jam yang perlu dilaksanakan, ia sudah cukup menggerunkan. Apatah lagi persembahan ini dilakukan di dalam gerabak.
"Terkedu dibuatnya apabila pihak KTMB menyuarakan misi untuk memecahkan rekod berdikir dalam tempoh yang panjang. Namun berkat sokongan, disiplin dan kata sepakat sesama ahli kumpulan, kami tekad menyahut cabaran ini," tutur Che Azmin yang bertindak sebagai tukang karut dalam kumpulan Sri Rahmat yang terdiri daripada 25 ahli.

Menjawab pertanyaan mengenai persiapan dan latihan, Che Azmin yang mula mendekati dunia dikir barat seawal usia tujuh tahun memberitahu, mereka tidak menjalani sesi latihan spesifik untuk persembahan dikir yang mencabar itu.

Memandangkan jadual harian Sri Rahmat sentiasa sibuk bagi memenuhi undangan persembahan dikir barat di serata Kelantan dan Semenanjung Malaysia, maka persembahan sedemikian disifatkan sebagai latihan untuk memantapkan diri.
Dari segi menghafal lagu pula, tidak sesukar mana kerana mereka lebih selesa menyanyikan lagu-lagu wajib, popular dan mesra telinga.

Jelas Che Azmin yang berkulit hitam manis, corak persembahan dikir barat dahulu dan kini jauh berbeza. Dahulu, pemilihan lagu banyak tertumpu pada lagu tradisional dan lagu-lagu rakyat. Namun pada zaman moden ini, semua lagu boleh dimuatkan dalam persembahan dikir barat. Cuma bezanya, lagu-lagu tersebut diiringi dengan alat muzik dikit barat seperti gong, gendang (ibu dan anak) marakas, canang dan tamborin.

"Berdikir lagu-lagu komersial tidak sukar. Tetapi yang sukarnya apabila perlu menyanyi secara spontan. Walaupun spontan, saya perlu berhati-hati supaya tidak memperlekehkan orang sekeliling. Justeru, saya lebih fokus menyelitkan lirik lagu yang positif dan menghiburkan penonton.

BERDIKIR selama 15 jam 10 minit memerlukan setiap ahli kumpulan dikir barat Sri Rahmat memiliki ketahanan mental dan fizikal bagi menamatkan cabaran.
"Pendek kata, seseorang tukang karut perlu berpengetahuan luas untuk mendapatkan idea ketika menyanyi spontan. Atas faktor tersebut, sebelum persembahan, saya kerap melakukan kajian di Internet dan membaca buku serta surat khabar bagi mengetahui isu-isu semasa," ungkap Che Azmin.

Mengulas mengenai kepenatan yang dirasai, tukang karut, Hanafiah memberitahu, pukul 3 pagi merupakan waktu kemuncak yang amat memenatkan. Segelintir awak-awak tertidur gara-gara kepenatan. Dia pula hampir kekeringan idea apabila tiada lagu untuk dinyanyikan setelah lebih daripada 100 lagu didendangkan.

"Kami terlalu penat kerana tidak berpeluang mendapat rehat yang cukup. Ini kerana tiga hari berturut-turut sebelum ini, kami membuat persembahan dikir barat sebanyak 10 kali di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura. Belum reda kepenatan ini, persembahan dikir kami berlanjutan pula di dalam gerabak," luah Hanafiah kepada Kosmo! dalam nada yang tercungap-cungap dan matanya mula merah selepas menamatkan cabaran.

Namun begitu Hanafiah yang pernah memenangi Juara Tukang Karut peringkat negeri Kelantan, pada tahun lalu melahirkan rasa gembira apabila kumpulan dikir Sri Rahmat berjaya mencatat rekod berdikir selama 15 jam 10 minit.

Oktober 21, 2009

Pemangku Raja bimbang kadar jenayah Kelantan meningkat


KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, hari ini melahirkan kebimbangan peningkatan isu gejala sosial dan jenayah di negeri ini dan mahu tindakan dilakukan segera bagi menangani masalah berkenaan. Baginda bertitah, masalah penagihan dadah umpamanya bukan saja berlaku di kawasan bandar malah menular ke kawasan pedalaman, membabitkan golongan remaja bawah umur.


"Beta difahamkan bahawa dari tahun 2004 hingga akhir 2008, Kelantan didapati berada di tempat ketujuh berbanding di negeri-negeri lain," titah baginda ketika menyempurnakan perasmian persidangan ketiga (Belanjawan) penggal kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.


Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, semua pihak hendaklah memandang serius masalah itu kerana ia ibarat virus, yang jika tidak dicegah akan menular dan merosakkan generasi akan datang. Masalah kelembapan industri perindustrian turut menarik perhatian baginda, yang menyifatkan keadaan itu masih boleh dipertingkatkan lagi dengan mengenal pasti tapak-tapak baru bagi kawasan perindustrian. "Beta dimaklumkan Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM14.7 juta bagi program menaiktaraf infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti di jajahan Kota Baharu, Pasir Mas, Jeli dan Tumpat.


"Beta berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan yang disalurkan dan diharap dapat menarik minat pelabur luar dan seterusnya menjadikan sektor perindustrian sebagai sektor yang lebih proaktif," titahnya. Mengenai sektor pelancongan, baginda menyarankan supaya kerajaan negeri mengenalpasti sumber-sumber pelancongan baru seperti pelancongan bulan Ramadan dan pusat pengajian pondok yang boleh dieksploitasi bagi tujuan itu.


Baginda turut menyarankan supaya penggunaan teknologi moden berskala besar dan berorientasikan eksport dapat digunakan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti produk pertanian bermutu tinggi. Mengenai pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Tengku Muhammad Faris Petra, mahu kerajaan negeri memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Pusat untuk menjayakan projek ECER termasuk menjadikan kawasan Tok Bali-Besut sebagai "zon ekonomi istimewa".


Baginda turut menegur kelewatan beberapa projek pembangunan di Kelantan walaupun tempoh RMK-9 akan berakhir tahun depan. Persidangan dewan bersambung esok dan akan berakhir Rabu depan. 

Oktober 16, 2009

Damai di Tok Bali




AGAK sepi tanpa publisiti. Namun, hanya dengan elemen keindahan semula jadi dan kampung nelayan, pantai Tok Bali kian menarik perhatian pelancong singgah ke Pasir Puteh, Kelantan.

Ramai pelancong Eropah dan warga tempatan memilih tempat ini kerana mungkin sudah jelak dengan kesesakan pantai utama lain di timur tanah air. Ada turut membuat kunjungan singkat selepas atau sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu.

Pemandangan indah pulau kecil di perairan berhampiran pantai itu dapat anda saksikan sekiranya melalui jambatan melengkung merentasi Terusan Semerak. Dari atas jambatan, pengunjung juga dapat melihat kesibukan bot nelayan laut dalam yang keluar masuk ke Jeti Tok Bali, sesuai kedudukannya sebagai pusat pendaratan ikan utama.

Menempuh perjalanan kurang sejam selepas berhenti rehat di Kota Bharu, perkara pertama yang menangkap perhatian penulis adalah replika bot nelayan di kedua-dua bahagian jambatan. Ikon tidak rasmi Tok Bali itu kini menjadi tarikan pelancong selain warisan alam semula jadinya. Kawasan ini juga mendapat limpahan ekonomi daripada Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) apabila giat dibangunkan sebagai jeti pendaratan ikan terbesar di Kelantan.

Selain itu, ia juga dihubungkan dengan bandar lain di pantai timur menerusi jalan raya pesisir pantai, menyebabkan ia mudah dikunjungi. Dermaga di jeti ini bukan saja menjadi tempat berlabuh kapal dan bot nelayan yang pulang selepas berhempas-pulas menyabung nyawa untuk mencari rezeki di tengah laut. Untuk orang luar dan penduduk setempat pula, ia menjadi lokasi terbaik mendapatkan hasil laut segar dengan harga jauh lebih murah.

Tidak hairanlah, ada kalangan warga Kota Bharu mengadakan trip mingguan ke pasar basahnya semata-mata untuk mendapatkan bekalan ikan segar. Ini kerana Tok Bali turut terkenal kerana membekalkan ikan segar ke seluruh Kelantan termasuk pasar sekitar Kota Bharu. Bot nelayan tradisional pelbagai bentuk dan warna yang berlabuh di dermaga ternyata memberikan pemandangan menarik kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini.



Menurut rakan kaki kembara, suasana akan bertambah menarik apabila aktiviti masyarakat kian suram apabila menghampiri lewat senja. Deruan bot yang keluar masuk ke Sungai Semarak tidak mengganggu suasana damai melatari perkampungan nelayan yang masih kental dengan cara hidup tradisional ini.

Ketika kunjungan, kebanyakan kedai lengang tanpa pelanggan mungkin kerana cuaca yang panas terik. Namun, untuk sebilangan penduduk kampung, ia tidak menghalang mereka keluar mencari rezeki.

Kawasan hutan paya dipenuhi limpahan air dari Kuala Semarak menjadi tumpuan mereka yang mencari rezeki dengan mencari lala dan lokan. Tanpa peralatan canggih dan hanya berbekalkan baju Kedah dan berkain batik lusuh, wanita Kelantan kelihatan duduk mencangkung sambil 'menggagau' mencari lala dan lokan yang menghuni dasar paya. Lucu pula melihat hasil tangkapan kemudian hanya dilempar ke dalam baju untuk disimpan sementara, sebelum kerja mencari diteruskan.

Paya ini bukan saja menarik pencari lokan, namun menarik kunjungan mereka yang ingin mandi tanpa menghiraukan bahaya tanah jerlus. Kebanyakan dari mereka sama ada warga tempatan atau orang luar seakan-akan tidak menghiraukan papan tanda amaran melarang aktiviti mandi di kawasan berkenaan.

Perjalanan memasuki kawasan pantai melewati kawasan siar kaki berhampiran muara yang sudah ditambak bagi mengelak kesan hakisan. Berbanding kawasan pantai lain, destinasi percutian ini ternyata dijaga dengan baik dengan pembinaan bangku rehat oleh pihak berkuasa tempatan. Airnya, walaupun kelihatan tenang, masih berbahaya kepada pengunjung yang kurang mahir berenang berikutan keadaan perairannya yang dalam berbanding pantai lain di Kelantan seperti Pantai Melawi dan Pantai Sri Tujuh yang memiliki kawasan pantai lebih landai.

Namun, kelebihannya terletak pada persisiran pantainya yang panjang yang tidak menerima kesan hakisan teruk seperti di pantai lain seperti Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Sabak. Justeru, pantai yang dipenuhi pohon besar ini amat popular sebagai destinasi perkelahan keluarga terutama apabila menjelang cuti persekolahan. Tarikan Tok Bali bukan tidak terhenti di situ, ia turut menjangkau beberapa kilometer dengan gerai menjual produk makanan laut termasuk ikan kering dan paling popular, keropok lekor.

Tanpa bertangguh, ada yang mula memborong keropok lekor, namun pada masa sama tidak lepas peluang menikmati hidangan keropok losong segar. Jika sudah puas bersantai, anda boleh mencuba nasib dengan menyewa bot untuk memancing di laut lepas atau mengadakan pesta barbeku ditemani unggun api pada malam hari. Selain itu, menyaksikan sendiri nelayan tempatan mendaratkan hasil tangkapan mungkin menjadi pengalaman berharga untuk mereka yang dibesarkan di bandar.

Tanpa bingit pusat hiburan atau landskap pusat peranginan lima bintang, percutian ke Tok Bali sarat dengan pengalaman mendekati gaya kehidupan masyarakat di perkampungan nelayan. Damainya bukan saja di luaran, malah melekat di sanubari pengunjung mengajak mereka untuk kembali bertandang.


PENGINAPANAda banyak pilihan yang boleh disesuaikan dengan bajet dan keperluan pengunjung. Kebanyakan turut menawarkan kemudahan gelanggang sukan, rekreasi air, bilik mesyuarat dan masjid selain akses internet. Antaranya termasuk Sudara Beach Resort ( 09 - 753 3544), Sweet Beach Resort (09-7788899) dan D'Bali Riverrine Resort (09 - 778 0005).

Selain hampir 10 chalet dikendalikan penduduk tempatan, pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di Kota Bharu berikutan jarak kurang sejam antara pantai dengan ibu negeri Kelantan itu.

CARA KE SANA

Pantai Tok Bali terletak kira-kira 48 kilometer dari Kota Bharu atau perjalanan berkereta hanya mengambil masa 45 minit. Cara paling mudah adalah menggunakan penerbangan dari ibu kota atau Pulau Pinang.>Ramai di kalangan pengembara "backpackers" menjadikan pantai di Pasir Puteh ini sebagai persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa atau pusat bandar, anda boleh menggunakan kereta sewa terus ke pantai peranginan ini. Dari Kuala Besut, anda boleh menaiki bas bernombor 96. Cara paling mudah untuk mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang adalah dengan menggunakan perkhidmatan komuniti penerbangan negara, Firefly terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aziz Shah Subang.

Mengadakan enam penerbangan harian dari dan ke Kota Bharu, ia menawarkan had bagasi 20 kg, penetapan tempat duduk dan sajian ringan. Kekerapan akan ditambah kepada 10 penerbangan harian selepas 25 Oktober. Selain itu, ia turut menawarkan tempahan perkhidmatan fleksibel dengan tawaran pakej percutian sesuai dengan bajet individu atau berkumpulan. Maklumat lanjut, layari www.fireflyz.com.my atau hubungi 03-78454543.