Julai 09, 2009

kasihnya cik wook


KUALA BERANG (Terengganu): Walaupun suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia selepas didapati positif dadah jenis heroin, kasih sayang wanita berusia 106 tahun, Mek Wook Kundor, terhadap suaminya, Mat Noor Che Musa, 37 tahun, tidak pernah luntur.
Perasaan itu jelas dilihat pada wajahnya yang sebak walaupun merelakan suaminya menjalani rawatan pemulihan bagi membolehkan mereka kembali melayari bahtera rumah tangga seperti pasangan lain kelak.
Seperti Cik Wook, cinta Mat Noor terhadap isterinya juga tidak dapat disangkal apabila dia dilihat mencium wajah wanita itu sambil memohon maaf terhadap segala kesalahannya.
Cik Wook berkata, beliau reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggap kejadian itu sebagai ujian dalam rumah tangga.
Menurutnya, beliau masih sayang dan sentiasa memberi nasihat kepada suaminya supaya kembali ke pangkal jalan.
'Saya beri tasbih dan kopiah ini dengan harapan dia berzikir dan berdoa banyak-banyak memohon keampunaan Tuhan. Saya harap dia akan insaf serta jangan lupa sembahyang dan mengaji,' katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.
Mat Noor ditahan sepasukan lima pegawai AADK Hulu Terengganu di pekarangan rumahnya di Kampung Tok Bak, di sini, pada 2.20 petang kelmarin, sebelum dibawa ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan ke pejabat agensi berkenaan untuk diambil keterangan.
Seperti pasangan bahagia lain, kasih dan sayang Mat Noor nyata tidak pernah luntur terhadap wanita itu apabila dia membuat permintaan terakhir mahu menemui isterinya sebelum dibawa ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 8 malam kelmarin. -- Harian Metro