Ogos 02, 2009

Pelancongan Keretapi di Kelantan



"INI negeri saya...saya susah hati tengok Kelantan kurang maju. Jadi saya akan pastikan negeri ini dimajukan, terutama sektor pelancongan".

"Sebagai anak jati negeri Kelantan, saya tahu negeri ini mempunyai pelbagai keistimewaan yang boleh dikomersilkan sebagai produk pelancongan".

Demikian dinyatakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, ketika melancarkan Karnival Jualan Mega Malaysia (KJMM) Peringkat Zon Timur di pusat membeli belah KB Mall di Kota Baharu, Kelantan baru-baru ini.

Mendengar ucapan pembukaan beliau itu, penulis memasang telinga bagi mendapatkan penjelasan lanjut anak jati Kota Baharu ini.

"Sepanjang 100 hari memegang portfolio Kementerian Pelancongan sudah lima kali saya balik ke sini. Saya telah pusing seluruh Kelantan untuk kaji bagaimana cara yang boleh diambil untuk bangunkan dan majukan industri pelancongan Kelantan.

"Saya cuba cari kelainan yang ada di sini. Mungkin kelainan itu boleh jadi bahan untuk dijual sebagai tarikan kepada pelancong. Tuan-tuan tahu apa kelainan yang kita ada? Hadirin memandang antara satu sama lain. Selepas berhenti sejenak, beliau menyambung: Kelantan ada kereta api yang beroperasi terus dari Singapura.

"Ini satu kelebihan buat Kelantan. Saya telah rancang dan bincang untuk mengubah wajah dan fungsi biasa mengangkut penumpang kepada lebih eksklusif sifatnya. 'Pelancongan Kereta api'...saya akan jadikannya sebagai tarikan baru untuk mengajak warga Kota Singa untuk bercuti di sini," katanya penuh semangat diikuti tepukan para tetamu.

PELANCONGAN KERETA API

Tamat acara, penulis bersama rombongan bllogers dan  media serta wakil dari agensi pelancongan yang dibawa khas dari Kuala Lumpur untuk program Lawatan MegaFam Domestik ke Kelantan sempena pelancaran KJMM, mendekati menteri, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas idea beliau itu.

Beliau membuka bicara dengan yakin bahawa idea pelancongan kereta api itu memberi peluang kepada pekan-pekan kecil di sepanjang laluan membangunkan potensi pelancongan mereka.

Berdasarkan itu, kementerian sedang berusaha untuk membangunkan Pelancongan Kereta api atau 'Homestay Kereta api'.

"Perkara ini telah pun saya bincangkan dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat yang bersetuju untuk bekerjasama," katanya.

Dari segi perkhidmatan keretapi, Kelantan menjadi antara negeri yang mempunyai jalinan perjalanan kereta api secara terus dari Singapura, yang mengambil masa hampir 13 jam.

TIDAK MEMBOSANKAN

Walaupun jarak antara Singapura dan Kelantan jauh, tetapi melalui konsep pelancongan kereta api, pelancong dijamin tidak akan merasa bosan kerana beberapa aktiviti dirancang oleh pihak kementerian di sepanjang perjalanan itu.

Antaranya sesi karaoke, joget tradisional, membuat kraftangan, permainan congkak serta perkhidmatan refleksologi.

Apabila beroperasi kelak, perkhidmatan pelancongan kereta api itu secara tidak langsung akan membantu perkembangan ekonomi kawasan luar bandar selain menjana ekonomi bagi penduduk yang tinggal berdekatan hentian kereta api -- Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Baru dan Tumpat.

Sungguhpun kawasan ini tidak mempunyai hotel mewah bertaraf bintang tetapi inap desa atau homestay boleh dijadikan sebagai tempat persinggahan pelancong. Setakat ini, 137 buah rumah dari 16 buah kampung telah berdaftar menjadi homestay di Kelantan.

BOLEH DIKOMERSILKAN

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik dan Singapura Tourism Malaysia, Musa Yusof, yang turut serta dalam rombongan itu, berkata cadangan itu merupakan satu langkah ke hadapan kementerian dalam membantu memajukan sektor pelancongan, khususnya di Kelantan.

Bagi memastikan idea itu menjadi kenyataan, Musa sendiri turun ke Kelantan bagi merasai pengalaman menaiki kereta api dari Kelantan ke Singapura.

Sepanjang pemerhatiannya, beliau mendapati konsep pelancongan kereta api boleh dikomersilkan kerana pelbagai aktiviti ditawarkan kepada pelancong sepanjang 13 jam perjalanan.

Kelantan menawarkan gabungan pakej pelancongan serba lengkap merangkumi tasik, pulau, gua, kawasan hutan hujan serta kawasan pedalaman yang cukup menarik dan ini sesuatu yang dicari oleh pelancong, khasnya dari Singapura.

"Saya yakin konsep pelancongan kereta api boleh berjaya tetapi memerlukan beberapa perubahan dari segi struktur binaan dalaman kereta api dan kemudahan supaya suasana dalam kereta api lebih ceria dan selesa kepada pelancong," katanya.

Bagi menarik lebih ramai warga Singapura melancong ke Kelantan, kementerian akan berbincang dengan Pengarah Cuti-Cuti Singapura untuk memasukkan pakej pelancongan kereta api sebagai pendekatan baru berkunjung ke sini.

Ditanya mengenai perkembangan proses pelaksanaannya, Musa berkata kementerian sedang mengadakan rundingan dengan pihak KTMB bagi mengambil alih beberapa gerabak untuk dijadikan gerabak kereta api pelancongan.

DARI KERETA API KE FESTIVAL DURIAN

Langkah kami seterusnya di bumi yang terkenal dalam penghasilan wau bulan dan batik ini ialah ke Festival Durian Pasir Parit 2009 di Kuil Tir Kun, Pasir Parit, Pasir Mas, iaitu kira-kira 30 minit perjalanan dari Kota Baharu.

Ketika memasuki jalan ke kampung itu, pandangan kami disegarkan dengan rimbunan pepohon buah-buahan yang menghijau di sepanjang laluan.

Kelihatan juga kelibat beberapa ekor tupai melompat dari pokok ke pokok seakan bergembira menanti kunjungan kami ke kampung yang juga merupakan dusun buah-buahan seperti durian, dokong, rambutan, nangka dan manggis.

Sampai di kuil, rombongan menteri disambut dengan tarian singa dan paluan gendang di samping pelbagai persembahan kebudayaan antaranya tarian klasik India, persembahan wayang kulit dan dikir barat oleh etnik Cina tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru Rangkaian Pasir Parit, Koh Guat Sing ketika mengalu-alukan kedatangan rombongan, berkata dengan kira-kira 1,600 penduduk menghuni 200 buah rumah, menjadikannya sebagai perkampungan orang Cina terbesar di Kelantan.

Melihat kepada kepelbagaian persembahan dan kerukunan penduduk di situ, Ng dalam ucapannya meminta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPNK) Kelantan Sulaiman Ismail supaya menyenaraikan Kampung Pasir Parit sebagai satu daripada destinasi pelancongan.

"Saya sedia maklum Kampung Pasir Parit mempunyai seorang ahli budaya yang dikenali ramai. Oi Hock Seng...siapa yang tak kenal dia di Kelantan. Beliau telah memecah tradisi dengan menjadi seorang tok dalang dalam permainan wayang kulit serta dikir barat yang biasanya didominasi orang Melayu. Beliau juga telah mengadakan persembahan di beberapa tempat di dalam dan luar negara.

"Selain wayang kulit dan dikir barat saya juga dimaklumkan kampung ini mempunyai pasukan tarian singa dan beberapa tarian lain. Kepelbagaian ini merupakan satu anugerah yang harus diperguna sebagai produk pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini," katanya yang disambut dengan tepukan kira-kira 500 tetamu.

PESTA DURIAN SEBAGAI ACARA TAHUNAN

Detik seterusnya memang dinanti-nantikan oleh semua. Acara makan durian dimulakan.

Tetapi bolehkan Pesta Durian di Kampung Pasir Parit ini dijadikan acara tahunan?

Musa yang diajukan soalan itu berkata: "Saya yakin ia boleh jadi kenyataan tetapi untuk berjaya ia perlu dijenamakan terlebih dahulu."

Untuk berjaya, penduduk di sini perlu mencontohi kejayaan penganjuran acara tahunan pesta "Jom Makan Durian" oleh Plus Expressway Bhd di hentian sebelah Bukit Gantang Lebuh raya Utara-Selatan dan "Pesta Jom Makan Durian" Bukit Gantang yang dianjurkan sebuah parti politik kawasan itu.

Ng yang ditemui selepas itu berkata Kampung Pasir Parit memang berpotensi dan boleh dimajukan sebagai kawasan pelancongan buah-buahan dan budaya.

"Bagi memastikan pelancong datang ke sini, penduduk diminta mengekalkan suasana dan persekitaran sedia ada agar ketulenan, kehijauan dan kesegaran udara dapat dinikmati seperti hari ini," katanya.

Menghargai usaha kreatif pasukan budaya kampung itu, Ng juga meminta pihak MTPNK memilih pasukan dikir barat Kampung Pasir Parit untuk dibawa bagi mengadakan persembahan di Festival Pelancongan di Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA09) yang akan berlangsung pada 1-5 Dis ini.

NAFAS BARU PELANCONGAN KELANTAN

Dengan kepelbagaian makanan, pantai, monumen gergasi, artifak dan khazanah bersejarah, Kelantan yang dikelilingi hutan semula jadi yang dipenuhi dengan spesies hidupan liar yang jarang ditemui sememangnya mempunyai seribu sebab untuk menarik pelancong, pencinta sejarah dan pencinta alam berkunjung ke sini.

"Pelancongan kereta api apabila beroperasi kelak berupaya memberi nafas baru kepada industri pelancongan tempatan yang telah sedia didukungi dengan kepelbagaian sumber tarikan sediakala...saya yakin ia akan menjadi identiti baru Kelantan selain daripada wayang kulit dan mak yong," kata K. Azham Hamdin, Pegawai Khas kepada Pengarah Urusan Sutra Utama Sdn Bhd.

"Festival durian ini mampu mempelbagaikan lagi wajah pelancongan Kelantan dan di masa yang sama turut memberi nilai tambah kepada kampung ini seterusnya membantu menghasilkan pendapatan sampingan kepada penduduk," katanya.

Bagi penulis, sekiranya cadangan ini berjaya dilaksanakan, Kelantan diumpamakan seperti seorang wanita rupawan yang memperoleh solekan baru bagi menyerikan lagi wajah yang sedia cantik.