Oktober 16, 2009

Damai di Tok Bali




AGAK sepi tanpa publisiti. Namun, hanya dengan elemen keindahan semula jadi dan kampung nelayan, pantai Tok Bali kian menarik perhatian pelancong singgah ke Pasir Puteh, Kelantan.

Ramai pelancong Eropah dan warga tempatan memilih tempat ini kerana mungkin sudah jelak dengan kesesakan pantai utama lain di timur tanah air. Ada turut membuat kunjungan singkat selepas atau sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu.

Pemandangan indah pulau kecil di perairan berhampiran pantai itu dapat anda saksikan sekiranya melalui jambatan melengkung merentasi Terusan Semerak. Dari atas jambatan, pengunjung juga dapat melihat kesibukan bot nelayan laut dalam yang keluar masuk ke Jeti Tok Bali, sesuai kedudukannya sebagai pusat pendaratan ikan utama.

Menempuh perjalanan kurang sejam selepas berhenti rehat di Kota Bharu, perkara pertama yang menangkap perhatian penulis adalah replika bot nelayan di kedua-dua bahagian jambatan. Ikon tidak rasmi Tok Bali itu kini menjadi tarikan pelancong selain warisan alam semula jadinya. Kawasan ini juga mendapat limpahan ekonomi daripada Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) apabila giat dibangunkan sebagai jeti pendaratan ikan terbesar di Kelantan.

Selain itu, ia juga dihubungkan dengan bandar lain di pantai timur menerusi jalan raya pesisir pantai, menyebabkan ia mudah dikunjungi. Dermaga di jeti ini bukan saja menjadi tempat berlabuh kapal dan bot nelayan yang pulang selepas berhempas-pulas menyabung nyawa untuk mencari rezeki di tengah laut. Untuk orang luar dan penduduk setempat pula, ia menjadi lokasi terbaik mendapatkan hasil laut segar dengan harga jauh lebih murah.

Tidak hairanlah, ada kalangan warga Kota Bharu mengadakan trip mingguan ke pasar basahnya semata-mata untuk mendapatkan bekalan ikan segar. Ini kerana Tok Bali turut terkenal kerana membekalkan ikan segar ke seluruh Kelantan termasuk pasar sekitar Kota Bharu. Bot nelayan tradisional pelbagai bentuk dan warna yang berlabuh di dermaga ternyata memberikan pemandangan menarik kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini.



Menurut rakan kaki kembara, suasana akan bertambah menarik apabila aktiviti masyarakat kian suram apabila menghampiri lewat senja. Deruan bot yang keluar masuk ke Sungai Semarak tidak mengganggu suasana damai melatari perkampungan nelayan yang masih kental dengan cara hidup tradisional ini.

Ketika kunjungan, kebanyakan kedai lengang tanpa pelanggan mungkin kerana cuaca yang panas terik. Namun, untuk sebilangan penduduk kampung, ia tidak menghalang mereka keluar mencari rezeki.

Kawasan hutan paya dipenuhi limpahan air dari Kuala Semarak menjadi tumpuan mereka yang mencari rezeki dengan mencari lala dan lokan. Tanpa peralatan canggih dan hanya berbekalkan baju Kedah dan berkain batik lusuh, wanita Kelantan kelihatan duduk mencangkung sambil 'menggagau' mencari lala dan lokan yang menghuni dasar paya. Lucu pula melihat hasil tangkapan kemudian hanya dilempar ke dalam baju untuk disimpan sementara, sebelum kerja mencari diteruskan.

Paya ini bukan saja menarik pencari lokan, namun menarik kunjungan mereka yang ingin mandi tanpa menghiraukan bahaya tanah jerlus. Kebanyakan dari mereka sama ada warga tempatan atau orang luar seakan-akan tidak menghiraukan papan tanda amaran melarang aktiviti mandi di kawasan berkenaan.

Perjalanan memasuki kawasan pantai melewati kawasan siar kaki berhampiran muara yang sudah ditambak bagi mengelak kesan hakisan. Berbanding kawasan pantai lain, destinasi percutian ini ternyata dijaga dengan baik dengan pembinaan bangku rehat oleh pihak berkuasa tempatan. Airnya, walaupun kelihatan tenang, masih berbahaya kepada pengunjung yang kurang mahir berenang berikutan keadaan perairannya yang dalam berbanding pantai lain di Kelantan seperti Pantai Melawi dan Pantai Sri Tujuh yang memiliki kawasan pantai lebih landai.

Namun, kelebihannya terletak pada persisiran pantainya yang panjang yang tidak menerima kesan hakisan teruk seperti di pantai lain seperti Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Sabak. Justeru, pantai yang dipenuhi pohon besar ini amat popular sebagai destinasi perkelahan keluarga terutama apabila menjelang cuti persekolahan. Tarikan Tok Bali bukan tidak terhenti di situ, ia turut menjangkau beberapa kilometer dengan gerai menjual produk makanan laut termasuk ikan kering dan paling popular, keropok lekor.

Tanpa bertangguh, ada yang mula memborong keropok lekor, namun pada masa sama tidak lepas peluang menikmati hidangan keropok losong segar. Jika sudah puas bersantai, anda boleh mencuba nasib dengan menyewa bot untuk memancing di laut lepas atau mengadakan pesta barbeku ditemani unggun api pada malam hari. Selain itu, menyaksikan sendiri nelayan tempatan mendaratkan hasil tangkapan mungkin menjadi pengalaman berharga untuk mereka yang dibesarkan di bandar.

Tanpa bingit pusat hiburan atau landskap pusat peranginan lima bintang, percutian ke Tok Bali sarat dengan pengalaman mendekati gaya kehidupan masyarakat di perkampungan nelayan. Damainya bukan saja di luaran, malah melekat di sanubari pengunjung mengajak mereka untuk kembali bertandang.


PENGINAPANAda banyak pilihan yang boleh disesuaikan dengan bajet dan keperluan pengunjung. Kebanyakan turut menawarkan kemudahan gelanggang sukan, rekreasi air, bilik mesyuarat dan masjid selain akses internet. Antaranya termasuk Sudara Beach Resort ( 09 - 753 3544), Sweet Beach Resort (09-7788899) dan D'Bali Riverrine Resort (09 - 778 0005).

Selain hampir 10 chalet dikendalikan penduduk tempatan, pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di Kota Bharu berikutan jarak kurang sejam antara pantai dengan ibu negeri Kelantan itu.

CARA KE SANA

Pantai Tok Bali terletak kira-kira 48 kilometer dari Kota Bharu atau perjalanan berkereta hanya mengambil masa 45 minit. Cara paling mudah adalah menggunakan penerbangan dari ibu kota atau Pulau Pinang.>Ramai di kalangan pengembara "backpackers" menjadikan pantai di Pasir Puteh ini sebagai persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa atau pusat bandar, anda boleh menggunakan kereta sewa terus ke pantai peranginan ini. Dari Kuala Besut, anda boleh menaiki bas bernombor 96. Cara paling mudah untuk mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang adalah dengan menggunakan perkhidmatan komuniti penerbangan negara, Firefly terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aziz Shah Subang.

Mengadakan enam penerbangan harian dari dan ke Kota Bharu, ia menawarkan had bagasi 20 kg, penetapan tempat duduk dan sajian ringan. Kekerapan akan ditambah kepada 10 penerbangan harian selepas 25 Oktober. Selain itu, ia turut menawarkan tempahan perkhidmatan fleksibel dengan tawaran pakej percutian sesuai dengan bajet individu atau berkumpulan. Maklumat lanjut, layari www.fireflyz.com.my atau hubungi 03-78454543.

Tiada ulasan: