Oktober 24, 2009

Dikir keretapi tarikan baru ke Kelantan






SELESAI melakukan pemeriksaan kastam dan imigresen di Stesen Woodlands, Singapura, para penumpang kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) berlari anak memasuki koc. Masing-masing tidak mahu ketinggalan kereta api. Begitu juga penulis dan sekumpulan wakil media yang turut sama menaiki tren Ekspres Timuran yang menuju ke Tumpat, Kelantan.

Saat melabuhkan punggung di tempat duduk yang disediakan, satu pengumuman memecah suasana sunyi di koc yang menempatkan rombongan media. "Diharap kalian bergembira menyertai ekspedisi ini. Kira-kira 10 minit lagi, koc kita akan diserikan dengan persembahan yang mengujakan. Bukan nyanyian daripada penyanyi popular mahupun klip video muzik.

Berdikir dalam kereta api? Bagaimanakah suasananya? Tak sabar rasanya untuk menyaksikan persembahan itu.

Sebaik sahaja kereta api mula bergerak perlahan-lahan, koc yang dinaiki media mula dipenuhi ahli Kumpulan Kebudayaan Dikir Barat Sri Rahmat. Mereka sudah bersiap siaga dari koc belakang.

Sambil membawa alat muzik untuk berdikir, kumpulan yang diimport dari Kota Bharu, Kelantan itu tampil santai. Mereka menggayakan baju-t putih yang tertera ungkapan, 'Budi Bahasa Budaya Kita' dan memakai lilitan tengkolok kuning di kepala.

Masing-masing mencari kedudukan yang selesa dan membuat formasi bulatan sebelum memulakan persembahan. Langkah itu penting kerana dikir barat yang akan dipersembahkan sebentar nanti bukannya berlangsung dalam tempoh 30 minit seperti biasa. Sebaliknya, ia memakan masa selama 15 jam!

Tepat jarum jam menunjukkan pukul 6.50 petang, gong dipalu dan serta merta kumpulan dikir Sri Rahmat beraksi. Lagu-lagu
rakyat Kelantan didendangkan bersama bunga tari sambil mengikut alunan muzik.

Selain mencuci mata dengan kehijauan rimbunan pohon, dusun buah-buahan dan pemandangan desa yang permai, halwa telinga kami pula dihiburkan dengan persembahan dikir barat secara langsung. Persembahan seni dikir barat dalam dialek Kelantan begitu hebat apabila kombinasi nyanyian tukang karut dan awak-awak cukup serasi. Mereka bersatu dalam lagu dan setiap lagu yang dinyanyikan menceriakan suasana koc.

Biarpun perjalanan dari Singapura ke Tumpat sejauh 780 kilometer, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kumpulan dikir Sri Rahmat. Sepanjang perjalanan, mereka asyik berdikir. Mereka memulakan dikir dengan lagu-lagu rakyat Kelantan. Antaranya Dikir Rambong, Joget Kelantan, Gurindam Jiwa, Anak Tupai, Asyik dan sebagainya.

Riuh-rendah dibuatnya koc kami dengan tepukan, nyanyian, paluan gong dan deringan tamborin. Sesekali sambil menyanyi, awak-awak berdiri dan menari mengikut muzik. Krew KTMB turut mengambil kesempatan menari tatkala kumpulan dikir mengalunkan lagu Joget Kelantan.

Lebih memeriahkan suasana apabila pendikir Sri Rahmat yang memiliki tiga orang tukang karut yang silih berganti mempersembahkan lagu-lagu Hindustan, Indonesia dan Thailand. Tidak ketinggalan, koleksi lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee versi dikir barat yang membuatkan badan kami turut sama bergoyang.




Selepas kesemua lagu rakyat, Hindustan, Indonesia, Thailand dan klasik didendangkan, mereka hampir kekeringan idea. Namun, mereka mengejutkan pendengar apabila mendikirbaratkan pula lagu-lagu pop, patriotik dan rock! Antaranya lagu kumpulan Amuk, Akar dan Bumi. Kemampuan mereka yang seolah-olah berdikir barat secara spontan mengagumkan. Mungkin itulah keadaannya apabila dikehendaki berdikir selama 15 jam.

Sedang asyik berdikir, penulis menyelak jendela yang dihiasi dengan motif bunga yang menutupi gerabak. Tiada apa yang jelas kelihatan kecuali suasana malam yang pekat. Sudah pukul 1 pagi rupanya. Dek kerana persembahan kumpulan dikir Sri Rahmat masih bertenaga, saya terasa masa berlalu begitu pantas.

KTMB menganjurkan cabaran berdikir dalam kereta api dari Singapura ke Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Namun kerancakan dikir barat yang berlangsung di dalam kereta api No. 14 mula beransur perlahan. Suara awak-awak dan tukang karut Che Azmin Che Soh, 33, dan Mohd. Hanafiah Yusof, 32, yang sebentar tadi memecahkan keheningan malam tersekat-sekat dan serak.

Riak wajah mereka diselubungi keletihan dan kelesuan. Pada waktu itu, jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.30 pagi. Sampaikan salah seorang tukang karut menyuarakan: "Lagu apa kita nak nyanyi lagi. Rasanya semua lagu kita dah nyanyi.

Secara tiba-tiba salah seorang awak-awak menyanyikan lagu, "Old MacDonald had a farm, eee-yi-eee-yi-oh" kemudian mereka terus menyempurnakan bait-bait lagu tersebut. Lucu dibuatnya sehingga lagu kanak-kanak boleh dijadikan lagu dikir.

Bagi mengubati suara yang semakin serak itu, mereka hanya meneguk air minuman yang setia di sisi. Sesekali kedengaran kata-kata semangat daripada ahli kumpulan: 'Tak pe... try lagi deh, teruskan.' Mereka saling meniupkan semangat dan meneruskan misi berdikir.

Tatkala diberitahu tinggal tiga jam lagi untuk tiba di Tumpat, kumpulan dikir Sri Rahmat semakin asyik berdikir. Bagi menghangatkan suasana dan motivasi diri untuk mencapai cabaran yang ditugaskan, mereka yang mulanya memakai baju-t menyarungkan busana dikir barat tradisional pula.

Rona jingga terang seolah-olah memberikan semangat baru kepada mereka. Lagu-lagu dikir yang dipersembahkan semakin rancak. Terutamanya ketika tren berhenti di stesen Gua Musang, Kelantan iaitu lima stesen lagi untuk tiba ke Tumpat.
Sebaik sahaja mendengar siren yang menandakan tren bakal berhenti di stesen terakhir, irama dikir kedengaran semakin memuncak. Lagu Wau Bule mengiringi persembahan sehingga tren Ekspres Timuran berhenti di Tumpat, Kelantan, tepat pukul 10 pagi.

"Ini bukan satu kerja yang mudah. Mendengar sahaja tempoh 15 jam yang perlu dilaksanakan, ia sudah cukup menggerunkan. Apatah lagi persembahan ini dilakukan di dalam gerabak.
"Terkedu dibuatnya apabila pihak KTMB menyuarakan misi untuk memecahkan rekod berdikir dalam tempoh yang panjang. Namun berkat sokongan, disiplin dan kata sepakat sesama ahli kumpulan, kami tekad menyahut cabaran ini," tutur Che Azmin yang bertindak sebagai tukang karut dalam kumpulan Sri Rahmat yang terdiri daripada 25 ahli.

Menjawab pertanyaan mengenai persiapan dan latihan, Che Azmin yang mula mendekati dunia dikir barat seawal usia tujuh tahun memberitahu, mereka tidak menjalani sesi latihan spesifik untuk persembahan dikir yang mencabar itu.

Memandangkan jadual harian Sri Rahmat sentiasa sibuk bagi memenuhi undangan persembahan dikir barat di serata Kelantan dan Semenanjung Malaysia, maka persembahan sedemikian disifatkan sebagai latihan untuk memantapkan diri.
Dari segi menghafal lagu pula, tidak sesukar mana kerana mereka lebih selesa menyanyikan lagu-lagu wajib, popular dan mesra telinga.

Jelas Che Azmin yang berkulit hitam manis, corak persembahan dikir barat dahulu dan kini jauh berbeza. Dahulu, pemilihan lagu banyak tertumpu pada lagu tradisional dan lagu-lagu rakyat. Namun pada zaman moden ini, semua lagu boleh dimuatkan dalam persembahan dikir barat. Cuma bezanya, lagu-lagu tersebut diiringi dengan alat muzik dikit barat seperti gong, gendang (ibu dan anak) marakas, canang dan tamborin.

"Berdikir lagu-lagu komersial tidak sukar. Tetapi yang sukarnya apabila perlu menyanyi secara spontan. Walaupun spontan, saya perlu berhati-hati supaya tidak memperlekehkan orang sekeliling. Justeru, saya lebih fokus menyelitkan lirik lagu yang positif dan menghiburkan penonton.

BERDIKIR selama 15 jam 10 minit memerlukan setiap ahli kumpulan dikir barat Sri Rahmat memiliki ketahanan mental dan fizikal bagi menamatkan cabaran.
"Pendek kata, seseorang tukang karut perlu berpengetahuan luas untuk mendapatkan idea ketika menyanyi spontan. Atas faktor tersebut, sebelum persembahan, saya kerap melakukan kajian di Internet dan membaca buku serta surat khabar bagi mengetahui isu-isu semasa," ungkap Che Azmin.

Mengulas mengenai kepenatan yang dirasai, tukang karut, Hanafiah memberitahu, pukul 3 pagi merupakan waktu kemuncak yang amat memenatkan. Segelintir awak-awak tertidur gara-gara kepenatan. Dia pula hampir kekeringan idea apabila tiada lagu untuk dinyanyikan setelah lebih daripada 100 lagu didendangkan.

"Kami terlalu penat kerana tidak berpeluang mendapat rehat yang cukup. Ini kerana tiga hari berturut-turut sebelum ini, kami membuat persembahan dikir barat sebanyak 10 kali di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura. Belum reda kepenatan ini, persembahan dikir kami berlanjutan pula di dalam gerabak," luah Hanafiah kepada Kosmo! dalam nada yang tercungap-cungap dan matanya mula merah selepas menamatkan cabaran.

Namun begitu Hanafiah yang pernah memenangi Juara Tukang Karut peringkat negeri Kelantan, pada tahun lalu melahirkan rasa gembira apabila kumpulan dikir Sri Rahmat berjaya mencatat rekod berdikir selama 15 jam 10 minit.

Tiada ulasan: